MIRI, 26 Dis: Seorang pendaki lelaki terkandas di hutan The Grand Old Lady-Canada Hill di sini akibat diserang penyakit asma pada pagi tadi.
Komander Operasi, Azman Ibi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 10.27 pagi dengan menggerakkan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral ke lokasi kejadian.
“Setibanya dilokasi kejadian didapati seorang mangsa berusia 25 tahun kelelahan semasa membuat aktiviti pendakian disebabkan penyakit asma.
“Operasi diteruskan dengan mencari mangsa di lokasi yang telah dikongsikan melalui google maps dan mangsa telah dijumpai dalam jarak 300 meter dari jalan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, keadaan mangsa stabil dan pasukan bomba mengiringi mangsa ke tempat selamat.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Selepas keadaan selamat operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.20 pagi,” ujarnya.-TVS