IPOH, 26 Dis: Seramai 26 individu termasuk seorang wanita warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan judi laga ayam di satu kawasan terpencil di Tapah di sini, pada Rabu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner (DCP) Zulkafli Sariaat berkata, serbuan oleh pasukan dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Daerah Tapah dilakukan kira-kira 2 petang selepas menerima maklumat menerusi Op Dadu.
Menurutnya, hasil serbuan itu pihaknya memberkas lapan warga Malaysia serta 17 lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia.
“Kesemua mereka yang berusia antara 31 hingga 50 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan laga ayam.
“Polis turut merampas 49 ekor ayam laga bersama sangkar besi (lima), telefon bimbit (22) dan wang tunai RM18,314,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 Disember depan bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 32(1)(a) dan Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015. -TVS