Kuala Lumpur, 25 Dis: Pengorbanan dan jasa ibu bapa yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk ketika Krismas pastinya tidak mampu dibalas oleh anak-anak.
Itulah yang dilakukan James Geoffrey, 60, dan isterinya, Rosie Johnny, 56, yang terbang sejauh 1,690 kilometer (km) dari Penampang, Sabah ke Kuala Lumpur tanpa berkira soal kos pengangkutan yang mahal semasa musim perayaan.
James berkata kedua-dua anaknya, Therese Rose James, 23, dan Elisius Ross James, 18, sedang melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
“Mereka tidak boleh balik kampung kerana masih ada kuliah,” katanya ketika ditemui TVS selepas sembahyang misa di Gereja Katolik St John the Evangelist, Jalan Bukit Nanas di sini, hari ini.
Jelasnya, dia dan isterinya mengambil kesempatan itu untuk melepaskan rindu bersama anak-anak.
James berkata Hari Krismas merupakan perayaan yang sangat bermakna kerana menyatukan keluarga.
Sementara itu, Rosie menyifatkan rezeki untuk bersama keluarga sebagai hadiah istimewa sempena Krismas.
“Hadiah yang paling istimewa ialah bila kita dapat berkumpul bersama-sama sebagai sebuah keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, anak pertamanya, Therese berkongsi rasa syukur atas pengorbanan yang dilakukan oleh ibu dan bapanya agar dapat menyambut Krismas bersama dia dan adiknya.
Therese berkata kebiasaannya dia akan pulang ke Sabah pada setiap musim perayaan, namun tidak merancang untuk pulang pada tahun ini kerana sedang dalam semester akhir pengajian.
“Tetapi ibu bapa buat kejutan datang ke sini, lagipun adik saya juga dalam tahun pertama dan ini kali pertama menyambut Krismas di perantauan,” katanya. -TVS