BETONG, 25 Dis: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang hilang di kebun di Rumah Jack, Pais, Skrang, ditamatkan hari ini setelah tujuh hari usaha pencarian dijalankan.
Komander Operasi, Jusmandie Jamaie, mengumumkan operasi ditamatkan susulan pihak polis mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi SAR serta ahli keluarga mangsa.
Jusmandie memberitahu operasi akan diaktifkan semula sekiranya terdapat sebarang petunjuk baharu.
Menurutnya pasukan pencarian pertama melakukan pencarian dalam radius empat kilometer di kawasan darat dan sungai.
“Pasukan dua melakukan pencarian empat kilometer di sungai Skrang iaitu ke hulu dan ke hilir sungai dalam anggaran radius empat kilometer dengan menggunakan bot PDRM dan bot APM,” katanya.
Namun, menurut Jusmandie pencarian yang dilakukan hingga petang tadi masih belum membuahkan hasil.
Mangsa, Jijah Sanggah, 66, dipercayai hilang ketika dalam perjalanan ke kebun dan dilaporkan hilang sejak Rabu lepas.