KUCHING, 25 Dis: Seorang pengurus syarikat swasta di Bandaraya ini kerugian RM100,000 selepas terperdaya dengan penipuan pertukaran mata wang asing tidak wujud dalam media sosial.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, mangsa lelaki berusia 30-an elah berkenalan dengan seorang individu yang tidak dikenali melalui media sosial pada penghujung Ogos 2024.
“Mangsa menyatakan hasrat ingin melakukan pertukaran mata wang Malaysia kepada mata wang China untuk kegunaannya di China.
“Sepanjang tempoh perkenalan, mangsa telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi whatsapp,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada penghujung Disember mangsa telah membuat beberapa kali transaksi wang kepada suspek secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek berjumlah RM100,000.
“Mangsa telah menyedari dirinya ditipu apabila suspek tidak dapat dihubungi setelah mangsa membuat transaksi wang ke dalam akaun suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”ujarnya.-TVS