KUCHING, 25 Dis: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dinobatkan sebagai ‘Tokoh Berita Terbaik’ (Newsmaker of the Year) dan ‘Tetamu Pilihan Terbaik’ (Favourite Guest of the Year) oleh audio siar terkenal, Keluar Sekejap.
Penghormatan itu diberikan berdasarkan sumbangan besar beliau terhadap pembangunan Sarawak dan pengaruhnya dalam landskap politik Malaysia.
Dalam episod ke-137 podcast tersebut, Khairy Jamaluddin, salah seorang hosnya, memuji kepimpinan Abang Johari yang membawa perubahan besar kepada Sarawak dan negara.
“Kalau kita melihat bagaimana Sarawak telah merangka masa depan mereka – daripada pembelian saham besar dalam AFFIN Bank, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan, hingga aspirasi mereka untuk menubuhkan syarikat penerbangan milik sendiri melalui MASwings – ini menunjukkan visi luar biasa beliau,” kata Khairy yang juga Bekas Menteri Kesihatan.
Beliau turut menekankan isu kritikal seperti pengagihan gas antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sebagai bukti kemampuan Abang Johari untuk memperjuangkan hak Sarawak.
Pengiktirafan sebagai ‘Tetamu Pilihan Terbaik’ pula disampaikan oleh Shahril Hamdan, hos bersama Keluar Sekejap, yang tersentuh dengan wawasan Premier Sarawak itu mengenai hala tuju wilayah ini menjelang 2030.
“Wawancara kita bersama Abang Johari banyak memberi kesan kepada saya kerana kita boleh lihat bagaimana beliau sangat jelas mengenai apa yang beliau mahu lakukan untuk wilayah dia.
“Serta penjelasan Khairy Jamaluddin mengenai pemilihan Abang Johari sebagai ‘Newsmaker of the Year’, banyak sudah perkara yang berjaya dicapainya bagi tahun 2024. Jadi, itu adalah satu keistimewaan yang besar kita dapat bersama dengan beliau di Sarawak,” jelas Shahril yang juga bekas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri.
Kepimpinan Abang Johari jelas majukan Sarawak – Keluar Sekejap
Episod ke-115 yang memaparkan wawancara eksklusif bersama Abang Johari disiarkan pada 22 Julai 2024 bersempena Hari Sarawak.
Dalam episod itu, beliau mengupas isu-isu penting seperti kedudukan Sarawak dalam Malaysia, perkembangan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan aspirasi Sarawak untuk menonjol sebagai kuasa ekonomi serantau. — TVS