KUCHING, 24 Dis: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru rakyat agar memelihara hubungan erat antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negeri ini.
Menerusi perutusan khas sempena Hari Krismas 2024 hari ini, perpaduan sebagai asas keamanan dan keharmonian di Sarawak.
“Setinggi penghargaan saya rakamkan kepada semua rakyat Sarawak yang kekal rukun dan terus bersatu hati dalam menjaga keharmonian yang kita bina sekian lamanya, sehingga Sarawak diabadikan sebagai sebuah wilayah yang aman dan makmur untuk semua tanpa mengira latar budaya dan bangsa,” kata beliau.
Tun Dr Wan Junaidi turut menekankan bahawa menghormati perbezaan bukan sahaja memperkayakan pengalaman hidup tetapi juga mengukuhkan hubungan sesama insan.
“Konsep inklusiviti dalam kepelbagaian kaum inilah kekuatan masyarakat Sarawak yang menjurus kepada penerapan nilai ‘satu keluarga’.
“Saya percaya kita semua telah menjadi satu keluarga yang sentiasa menjaga kepentingan, kebajikan dan keperluan keluarga yang lain,” tambah beliau.
Tun Dr Wan Junaidi turut mengingatkan rakyat Sarawak tentang pentingnya saling membantu dalam menghadapi cabaran, terutama dalam suasana perayaan dan musim tengkujuh yang melanda ketika ini.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada barisan petugas keselamatan yang sentiasa bersiap siaga menjaga keselamatan rakyat, khususnya ketika musim Monsun Timur Laut.
Mengakhiri perutusan beliau, Tun Dr Wan Junaidi menyeru rakyat agar memanfaatkan semangat Krismas untuk menghargai setiap pencapaian yang telah dikecapi sepanjang tahun 2024.
“Sambutlah Krismas dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran, dan semoga tahun baharu 2025 membawa lebih banyak rahmat dan kejayaan untuk Sarawak,” ujar beliau. – TVS