KUCHING, 24 Dis: Pihak polis memohon kepada kapal-kapal yang melalui kawasan laut Tanjung Sipang dan pesisir pantai untuk menyalurkan maklumat sekiranya menemui dua orang mangsa krew lelaki kapal ikan berusia lingkungan 37 hingga 64 tahun warganegara asing yang masih belum ditemui sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat diteruskan sehingga penemuan kedua-dua mangsa tersebut.
Seorang nelayan dijumpai selamat, dua masih hilang, Maritim gerak operasi kesan mangsa
âKita menerima satu laporan polis dari seorang pengadu tempatan menyatakan sebuah kapal ikan dan enam krew kapalnya gagal dihubungi pada jam 10 pagi semalam. Sehubungan itu, pasukan SAR diaktifkan dengan melibatkan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Lembaga Sungai Sarawak (LSS) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan laut Tanjung Sipang.
âPada hari pertama sebuah kapal nelayan tempatan telah berjaya menyelamatkan tiga orang krew lelaki kapal ikan berusia antara 23 hingga 32 tahun warganegara asing dengan memakai jaket keselamatan di dalam laut Tanjung Sipang,â katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pada jam 3.30 pagi tadi terdapat satu lagi mangsa warganegara asing lingkungan usia 30-an telah dijumpai dalam keadaan selamat di kawasan sungai Serpan Laut, Asajaya.
âKesemua mangsa yang diselamatkan dalam keadaan keletihan dan tidak mengalami sebarang kecederaan, bagaimanapun kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.
âKita mengingatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih kerana ia akan mengganggu siasatan dan pencarian yang dijalankan,â tegasnya.
Pihak polis juga memohon orang ramai menyalurkan maklumat ke balai berhampiran berkaitan kejadian ini dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sub Inspektor Steward Albert di talian 013- 7595095 atau Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-24444 bagi membantu siasatan. -TVS