MUKAH, 24 Dis: Seorang lelaki ditangkap penduduk kampung kerana disyaki cuba mencuri komponen sebuah jengkaut di Jalan Metading di sini.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superitendan Polis (DSP), Muhamad Rizal Alias dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian, jengkaut itu diletakkan di tepi jalan untuk menjalankan kerja pembersihan tanah di kawasan berkenaan.
“Lelaki berusia 28 tahun ini, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, turut dirampas sebuah van dan beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri komponen kenderaan,” katanya.
Beliau berkata, hasil ujian urin ke atas lelaki itu mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Berikutan itu katanya, suspek direman empat hari sehingga 27 Disember, sementara usaha mengesan lain-lain suspek yang terlibat sama kes itu juga sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 A (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 / 511 kanun keseksaan dan saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
“Dalam pada itu, mereka boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes ini dengan menghubungi talian hotline IPD Mukah 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. -TVS