KUCHING, 24 Dis: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir semasa Monsun Timur Laut yang melanda Sarawak pada ketika ini.
Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman berkata, selain mengadakan beberapa mesyuarat sebagai persiapan menghadapi sebarang bencana, pihaknya turut memastikan aset-aset logistik serta kekuatan anggota yang terlatih dalam mendepani bencana seperti banjir dipersiap bagi berdepan sebarang kemungkinan bencana.
“30 anggota DBKU sentiasa dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi bencana banjir ini. Mereka terdiri daripada pemandu-pemandu lori, jentera korek kaut, trak tipper, lori berbumbung dan kenderaan pencahayaan berkuasa tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus selesai lawatan kerja tinjauan Operasi Pengurusan Bencana Banjir DBKU di Depo DBKU di sini pada Selasa.
Pada masa yang sama, Hilmy turut menggesa agar semua pihak, terutama para warga untuk memainkan peranan masing-masing dalam membantu mengelakkan insiden seperti banjir kilat daripada berlaku dengan memastikan saliran longkang, parit serta sungai tidak dipenuhi dengan sampah-sarap dan melupuskan sisa-sisa tersebut secara berhemah di tempat-tempat yang disediakan oleh pihak DBKU.
Menurut Hilmy lagi, isu parit serta longkang tersumbat merupakan punca yang menyebabkan banjir kilat berlaku di sesetengah kawasan dan beliau akan memastikan pihaknya akan turun padang untuk menangani isu tersebut dengan kadar segera terutama di 18 kawasan titik panas atau ‘hot spot’ antaranya termasuklah Persimpangan Jalan McDougall dan Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Pinang Jawa dan Jalan Matang berhadapan Metrocity.
“Kita juga memastikan kebanyakan parit-parit yang besar, khususnya di kawasan titik panas untuk banjir untuk sentiasa diselenggara agar sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya lagi.
Ujarnya lagi, DBKU turut menyediakan 42 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lokasi-lokasi seperti Sekolah Kebangsaanc Gersik, Sekolah Menengah Kebangsaan Bako, Dewan Tupong dan Dewan Samariang Batu.
Warga yang memerlukan sebarang bantuan semasa musibah banjir, disarankan untuk menghubungi talian kecemasan DBKU di 082-446644 atau menerusi penghantaran mesej di aplikasi Whatsapp di 016-8864466.-TVS