KOTA KINABALU, 25 Dis: Bamboo Woods Sabah, kumpulan muzik tradisional yang berpangkalan di Tamparuli, terus mengukir nama sebagai pejuang seni muzik tradisi buluh di negeri ini.
Diasaskan secara rasmi pada 15 November 2015, kumpulan ini lahir daripada usaha keras Shamsul Sabli, seorang guru dan peminat muzik berketurunan Iban, yang memulakan latihan intensif bersama sembilan anak muda pada 25 Mac 2014.
Menurut Shamsul, Bamboo Woods ditubuhkan bukan sekadar untuk bermain muzik tetapi untuk mengangkat martabat seni tradisi bambu Sabah.
“Bamboo Woods ditubuhkan bertujuan untuk mengangkat dan memartabatkan muzik tradisi bambu Sabah ke mata dunia. Selain itu, saya mahu menarik minat masyarakat, khususnya golongan kanak-kanak serta remaja, supaya mereka mencintai seni tradisi ini. Kita tidak mahu alat muzik tradisi ini pupus ditelan zaman,” katanya.
Kumpulan ini juga memberi fokus kepada pembentukan generasi baharu pemain muzik, melibatkan 38 ahli daripada lima generasi sejak penubuhannya.
“Kami memulakan perjalanan ini dengan generasi pertama dan kini sudah memasuki generasi kelima. Kesemua mereka, termasuk saya sendiri, bermain muzik dalam lingkungan umur 13 hingga 56 tahun,” jelas Shamsul.
Walaupun generasi awal kini sibuk dengan kerja dan pengajian, beliau tetap memastikan legasi kumpulan ini diteruskan oleh generasi baharu.
Perjalanan Shamsul bersama Bamboo Woods tidak mudah kerana segala kos ditanggung sendiri, termasuk makan, minum, pengangkutan, dan alat muzik, namun ia tidak mematahkan semangat beliau untuk teruskan berjuang untuk mempromosi muzik tradisional di kalangan anak muda di Sabah.
Sebagai seorang guru, Shamsul sentiasa mengutamakan pelajaran ahli kumpulannya dan tidak mengeksploitasi mereka.
“Saya rasa bertanggungjawab ke atas kemajuan pelajaran mereka. Kalau ada yang ada peperiksaan penting, saya tidak akan benarkan mereka menyertai persembahan,” ujarnya.
Bamboo Woods menggunakan pelbagai alat muzik tradisional seperti binabad (babadon), babangau, sompoton, seruling, bungkau, dan tanggungak, serta alat moden seperti gitar bass elektrik untuk menambah dimensi baharu kepada persembahan mereka.
Gabungan muzik tradisi dan moden ini menjadikan persembahan mereka menarik perhatian di pelbagai pentas, termasuk Rainforest World Music Festival dan International Borneo Cultural Festival di Sarawak.
Shamsul turut berkongsi penghargaan terhadap sokongan luar biasa daripada masyarakat Sarawak, yang sering menjemput kumpulannya untuk membuat persembahan.
“Setiap kali kami ke Sarawak, layanan yang kami terima setaraf antarabangsa. Ini memberikan motivasi untuk kami terus maju,” katanya.
Melihat ke masa depan, Shamsul bercadang untuk menubuhkan sebuah pertubuhan rasmi, Budaya Warisan Sabah, yang bertujuan melestarikan seni tradisi bambu Sabah.
“Rancangan saya adalah untuk memastikan semua ahli Bamboo Woods, dari generasi satu hingga lima, terus memainkan peranan dalam mempertahankan warisan budaya ini,” jelasnya.
Dengan dedikasi dan semangat yang tidak pernah luntur, Bamboo Woods Sabah terus memartabatkan seni tradisi bambu, mencorakkan masa depan lebih cerah untuk warisan budaya Sabah. Persembahan mereka bukan sekadar hiburan tetapi juga simbol hidup tradisi yang terus bernadi dalam jiwa masyarakat hari ini. -TVS