MUKAH, 23 Dis : Seorang penyelia makmal maut dalam kemalangan melibatkan pertembungan dua kereta di Jalan Mukah – Balingian di sini, hari ini.
Insiden kira-kira jam 10.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Shukor Derin, 43, meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superitendan Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian turut mengakibatkan kecederaan parah seorang guru dan anak saudaranya yang menaiki kereta berasingan.
“Kedua-dua mangsa yang berusia 40 dan tujuh tahun masing-masing cedera di bahagian kaki kanan, pinggang dan dada dikejarkan ke Hospital Mukah untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebelum kejadian, kereta Produa Axia yang dipandu lelaki itu bergerak dari Mukah menghala ke Balingian manakala kereta Honda BRV pula dari arah bertentangan.
Katanya, siasatan polis mendapati kereta guru dan anak saudaranya itu bergerak lurus dari arah Balingian menghala ke Mukah sebelum bertembung dengan kereta mangsa yang secara tiba-tiba memasuki laluannya di kilometer 47, Jalan Mukah – Balingian.
“Akibat kemalangan tersebut kesemua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Balingian untuk rawatan lanjut oleh ambulans klinik kesihatan berkenaan.
“Bagaimanapun, penyelia makmal itu disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Balingian,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APN} 1987. -TVS