SIBU, 23 Dis: Orang ramai mula pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti perayaan Krismas dan tahun baharu dengan menggunakan pelbagai alternatif termasuk pengangkutan awam seperti bas.
Tinjauan TVS mendapati suasana di Terminal Bas Sibu dipenuhi orang ramai daripada pelbagai kaum terumanya yang ingin pulang menyambut Krismas di kampung halaman masing-masing.
Bagi Nuramira Nadzirah Mohd Izzudin, 28 dari Senai, Johor, dia bersama-sama keluarga menggunakan bas untuk pulang ke kampung halaman ibunya di Kapit untuk merasai kemeriahan sambutan perayaan Krismas buat pertama kali di sana.
“Ibu saya seorang Iban berasal dari Kapit namun kami semua lahir dan menetap di Johor. Rasa gembira dan teruja balik ke Sarawak kali ni sebab tepat musim perayaan, sebelum ni tak pernah lagi dan ini kali kedua balik ke Sarawak.
“Kami tiba dari Johor menggunakan kapal terbang dan akan ke Kapit menggunakan bas. Bagi saya guna bas ni mudah, tak perlu minta tolong dan menyusahkan keluarga di sini.
“Sebab kami sekeluarga kan ramai dengan barang yang banyak beserta dengan beg bagasi. Harga tiket pun tak mahal dan bagi saya ia berbaloi sebab jarak dari Sibu ke Kapit ni agak jauh juga,” katanya.
Bagi Jonathan Jampong, 35, dia bersama-sama keluarga menggunakan bas dalam perjalanan dari Bintulu ke Sibu untuk menghantar anak-anaknya pulang ke kampung halaman di Kapit.
“Namun saya dan isteri akan balik semula ke Bintulu memandangkan saya kerja dan tak dapat cuti Krismas, namun saya gembira dapat menguruskan perjalanan anak-anak menggunakan bas ke Kapit untuk menyambut Krismas di sana.
“Saya memilih menggunakan bas yang utamanya adalah kerana faktor keselamatan. Sebab semasa cuti Krismas ni keadaan jalanraya sesak, lebih baik pakai bas sebab lebih selamat, selesa dan kelengkapannya mencukupi.
“Keselamatan dan keselesaan itu adalah suatu yang penting bagi saya,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Serani Tang, 52, kakitangan sebuah syarikat bas, tempahan tiket sempena cuti Krismas dan tahun baharu amat memberangsangkan.
“Semua tiket bas habis terjual, tak kira perjalanan ke Kapit, Miri, mahupun Kuching. Yang paling banyak permintaan adalah tiket bas ke Kapit dengan enam perjalanan dari Sibu setiap hari,” katanya.-TVS