KUCHING, 23 Dis: Pesilat kelahiran Kuching, Abdul Latif Maxzakir menamatkan penantian dua dekad Sarawak dan Rumpun Silat Sarawak (RSS) selepas berjaya membawa pulang pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-20 2024 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kejayaan itu sekali gus menjadikan Abdul Latif, 25, sebagai anak jati Bumi Kenyalang yang keempat membawa pulang gelaran Juara Dunia.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan RSS hari ini, Abdul Latif menumpaskan lawannya dari Vietnam, Nguyen Duy Tuyen dalam kategori Tanding Putra Kelas H Senior.
“Abdul Latif yang merupakan anak kepada bekas Juara Dunia 1994, Maxzakir Othman, mempunyai semangat juang seperti bapanya dan telah melalui proses yang panjang serta penuh cabaran sebelum berjaya bergelar ‘World Champ’,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, penampilan sulung pesilat dari Miri, Ummi Mashitah Hassan dalam kejohanan dunia cemerlang apabila berjaya merangkul gelaran Naib Juara Dunia selepas perlawanannya bertemu Le Thi Van Anh dari Vietnam dalam kategori Tanding Putri Kelas C Senior.
“Ummi yang baru berusia 21 tahun sebelum ini mempamerkan prestasi cemerlang beliau dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak 2024 selepas memenangi pingat emas bagi kategori Tanding Putri Kelas B.
“Beliau kemudiannya dilamar Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) bagi pemilihan pasukan kebangsaan,” jelas kenyataan itu lagi.
Nama Sarawak dan Malaysia sekali lagi menjadi perhatian selepas wasit juri dari Sarawak, Arnidawati Kassim dianugerahkan Wasit Juri Wanita Terbaik Dunia selepas penglibatan beliau dalam kejohanan dunia tersebut.
Untuk rekod, Malaysia telah menjulang gelaran Juara Dunia untuk beberapa kali sebelum ini menerusi atlet-atlet kelahiran Sarawak termasuk Ramlee Ahmad pada 1992 di Jakarta, Indonesia; Maxzakir Othman (1994, Hat Yai, Thailand) dan Abang Erdie (2004, Singapura).
Bagi kejohanan kali ini, skuad pencak silat kebangsaan berjaya membawa pulang enam pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa. -TVS