KUALA LUMPUR, 23 Dis: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengumumkan kerjasama dengan KNKV Group dan Media Primary menerusi penganjuran KNKV Viral Award 2025 bagi memupuk semangat perpaduan di media sosial.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy berkata anugerah itu yang memberi penghargaan kepada pempengaruh media sosial diyakini akan membantu KPN mengetengah peranan media sosial sebagai alat menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang.
Jelas beliau, anugerah yang bertemakan Memupuk Perpaduan Negara itu menggalakkan para pempengaruh untuk membawa mesej perpaduan menerusi cara dan corak yang lebih bertanggungjawab.
“Dalam usaha KPN untuk memupuk semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat, cabaran besar adalah sosial media.
“Kalau boleh kawal sosial media dengan menyebarkan berita dan mesej berunsur positif, ia akan membawa kesan yang sangat baik dalam meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran KNKV Viral Award 2025, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr Zurainah Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Profesor Adjung Adam Richman dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Mohd Rafiq Mat Razali.
KNKV Viral Award 2025 yang merupakan edisi ketiganya akan dianjurkan pada 17 Mei 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PPIC).
Mengulas lanjut, beliau yakin inisiatif itu akan menggalakkan pengguna media sosial untuk memanfaatkan platform mereka dengan cara yang lebih membina.
Sementara itu, beliau berkata Kajian Persepsi Masyarakat ke atas Media dan Perpaduan yang disediakan oleh Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati media memainkan peranan penting dalam usaha mencapai perpaduan.
“Sebab itu saya tekankan bagaimana media sosial menjadi cabaran besar untuk kementerian dalam mempertahan perpaduan dalam kalangan rakyat kerana mesej dan hantaran yang dimuat naik boleh menggugat perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.- TVS.