KUALA LUMPUR, 23 Dis: Ibanscapes: Transcending Ajat, sebuah produksi tari yang dianjurkan oleh Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya (UM) bersama Ruai Kolektif memainkan peranan penting dalam menjadi jambatan penghubung budaya kaum Iban kepada masyarakat luar.
Pensyarah Seni Tari UM yang juga penerbitnya, Dr Noramin Farid berkata Ibanscapes merupakan inisiatif beliau bersama enam anggota Ruai Kolektif dan pelajarnya untuk memperkenal dan mengangkat adat serta budaya kaum Iban agar lebih dikenali.
Jelas beliau, produksi itu dikoreografikan oleh empat mahasiswa Sarawak iaitu Andrew Igai Jamu, Mohd. Hafzal Aziz, Albert Sigan Saliman dan Ramles Radin Suradi.
“Apa yang dimahukan menerusi produksi ini adalah untuk mereka berfikir dengan kritis apakah ‘Ajat untuk hari esok’ serta bagaimana untuk menjadikannya kontemporari dan relevan dengan penonton masa kini,” katanya ketika ditemui TVS, semalam.
Terdahulu, Ibanscapes: Transcending Ajat telah dianjurkan di Experimental Theatre di sini, pada 21 dan 22 Disember.
Noramin berkata beliau berharap pentas itu memberi inspirasi kepada anak-anak muda khususnya dari Sarawak dan Sabah supaya berbangga dengan budaya yang dimiliki dan berkongsi mengenainya kepada masyarakat luar.
Sementara itu, Andrew Igai Jamu yang juga Pengarah Artistik produksi itu berkata Ibanscapes memaparkan dua jenis tarian Ajat merangkumi tarian tradisional Iban dari pelbagai daerah di Sarawak seperti Batang Ai, Batang Rajang, Lubok Antu dan Pakan serta tarian kontemporari.
“Kami cuba untuk menyusun penyelidikan yang ada agar dapat menggambarkan suasana ‘ngabang’ sebenar dan kemudian memasukkan segmen kontemporari yang memaparkan gaya hidup orang Iban dengan cara baharu,” katanya.
Jelas beliau, pentas itu juga dihidupkan dengan penggunaan bahan kebudayaan seperti ‘ranyai’ dan diisi dengan persembahan ‘Nyerumba Kangau’ menerusi penceritaan puisi lama ‘Leka Main’.
Mengulas perancangan Ruai Kolektif untuk idea produksi pada masa akan datang, Andrew berkata pihaknya ingin mempromosikan adat dan budaya kaum lain di Sarawak kepada orang ramai.
“Selain budaya kaum iban saya juga mencari idea, memandangkan salah seorang koreografer adalah orang Melayu Sarawak, kemungkinan produksi seterusnya adalah mengenai kaum Melayu Sarawak,” katanya. – TVS