KUCHING, 23 Dis: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Canard telah menganjurkan DBKU X-Games buat julung kali dengan jayanya di pekarangan Stadium Negeri Sarawak mulai 21 Disember berakhir semalam.
DBKU dalam kenyataannya berkata, penganjuran acara ini bukan sahaja membuka ruang kepada peminat sukan lasak seperti rollerblading, skateboarding dan berbasikal, malah menjadi platform untuk memupuk minat dalam gaya hidup sihat dan aktif.
“DBKU komited untuk menyediakan peluang seperti ini bagi melibatkan belia dan orang ramai dalam aktiviti berimpak tinggi yang menyokong pembangunan sosial dan perpaduan komuniti.
“Malah, DBKU sentiasa berusaha menganjurkan program-program yang mampu menyemarakkan semangat komuniti, membina hubungan positif dan menyokong pertumbuhan belia,” kata kenyataan itu.
Penyampaian hadiah bagi para pemenang DBKU X-Games telah disampaikan oleh Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman. – TVS