KUCHING, 22 Dis: Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buri Miri meraih pingat emas acara lompat jauh kategori perempuan bawah 12 tahun Kejohanan Olahraga Peringkat Kebangsaan MSSM ke-64 di Ipoh baru-baru ini.
Valarya Ambung Herry Kapi meraih emas selepas melakukan lompatan sejauh 4.77 meter.
Tempat kedua diraih Amni Fakehah Ahmad Fauzi dari Kedah yang hanya ketinggalan 0.05 meter.
Kejayaan itu membuktikan anak muda dari kawasan pedalaman turut mampu melakar kejayaan di peringkat kebangsaan.
Lebih manis lagi, Valarya muncul sebagai satu-satunya atlet Sarawak yang membawa pulang pingat emas pada kejohanan tersebut.
Pencapaian diraih Valarya dari Rumah Ajan itu sudah pasti menjadi inspirasi kepada anak muda dari kawasan luar bandar untuk menceburi olahraga.
Selain Valarya, Diana Ninie Thomas yang turut mewakili Sarawak berjaya melangkah ke peringkat akhir tetapi sekadar berpuas hati di tempat ke-10 dengan catatan jarak 4.40 meter.
Selain itu, Valarya meraih pingat perak dalam acara 4×200 meter.-TVS