SIBU, 22 Dis: Sarawak Forestry Corporation (SFC) Cawangan Sibu melaksanakan operasi pelupusan ekshibit melibatkan sarang burung walit seberat 481.13 kilogram dengan anggaran nilai RM 400,000 berdasarkan harga terendah di pasaran tempatan.
Operasi tersebut dijalankan di Rizab Semulajadi Tun Ahmad Zaidi bermula pada jam 8 pagi dan selesai pada 12.10 tengah hari semalam.
SFC dalam kenyataan menjelaskan, operasi yang melibatkan lapan pegawai SFC, empat Wildlife Guardian Rangers (WGR), dan disaksikan oleh duapegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelupusan dilakukan menggunakan kaedah pembakaran.
“Ekshibit sarang burung walit yang dilupuskan ini berkaitan dengan pelanggaran Seskyen 34(b) dibaca bersama Seksyen 33(2)(a) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar,1998.
“Ordinan ini menyatakan bahawa mana-mana individu yang didapati memiliki, menjual atau membeli sarang burung walit daripada sumber yang tidak Sah boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM10,000,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, operasi tersebut mencerminkan komitmen pihak berkuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang demi melindungi hidupan liar dan memastikan pematuhan terhadap peraturan berkaitan sumber semula jadi di Sarawak.
“Keseluruhan sarang burung walit telah dibakar sehingga menjadi abu, dan sisa pembakaran dilupuskan dengan cara yang mesra alam.
“Operasi ini mematuhi prosedur keselamatan serta garis panduan yang ditetapkan,” menurut kenyataan tersebut. -TVS