KUCHING, 22 Dis: Perintah reman terhadap lelaki berusia 23 tahun yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Nurul Asikin Lan atau Amoi disambung selama tujuh hari bermula hari ini hingga 29 Disember 2024.
Pendaftar Kanan Nursyaheeqa Nazwa Radzali membenarkan perintah reman terhadap suspek itu disambung bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 15 Disember hingga hari ini, 22 Disember 2024 bagi membantu siasatan pihak polis.
Untuk rekod, warga di sekitar kawasan komersial Tabuan Jaya di sini digemparkan dengan penemuan jasad seorang wanita berusia 26 tahun yang mereput di longkang di Jalan Setia Raja pada 14 Disember 2024.
Susulan penemuan mayat wanita berkenaan, seorang lelaki ditahan oleh pihak polis dan setelah disiasat, suspek mengaku kepada pihak berkuasa bahawa motif pembunuhan adalah kerana terdesak untuk mendapatkan wang bagi menonton perlawanan bola sepak di Kemboja.
Suspek dikatakan mahu meminta gelang serta anting-anting emas mangsa untuk digadaikan bagi memenuhi niatnya, sebelum bertindak agresif sehingga menyebabkan kematian mangsa.
Sekiranya didapati bersalah, suspek akan didikenakan tindakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 40 tahun atau hukuman gantung sampai mati.
Untuk rekod, jenazah mangsa telah selamat dikebumikan oleh keluarganya pada 19 Disember lalu di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Kuching.-TVS