MIRI, 22 Dis: Semangat untuk menyambut perayaan Krismas kian terasa terutama dalam kalangan komuniti Kristian di Bandar raya Miri yang masih mengekalkan tradisi mereka walaupun dunia bergerak ke arah permodenan.
Bagi Lydia Sulau Karel, tradisi keluarganya tidak pernah ditinggalkan setiap kali menjelang Krismas.
Antara tradisi yang dipertahankan ialah Ngajat Iban dan Silat Kuntau Iban.
“Tradisi keluarga kami sentiasa dipelihara setiap kali menjelang Krismas. Antara persiapan utama ialah tarian Ngajat, yang mana kami memastikan ia dilakukan dengan penuh semangat.
“Kami juga mengadakan persembahan Silat Kuntau, memandangkan ada ahli keluarga yang mahir dalam seni tersebut. Selain itu, tradisi bertukar hadiah turut menjadi kebiasaan kami, menjadikannya satu amalan yang bermakna setiap kali perayaan,” kata Lydia.
Sementara itu, bagi Victoria Abin, makanan tradisional memainkan peranan penting dalam menyemarakkan Krismas.
Menu seperti ayam pansuh dan ikan pansuh adalah sajian wajib keluarga Victoria.
“Kami lebih gemar memasak sendiri, terutama masakan tradisional seperti pansuh ayam dan ikan, yang menjadi hidangan wajib bagi kami sebagai kaum Iban. Aktiviti memasak ini turut melibatkan generasi muda, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan,” ujarnya.
Selain makanan dan tarian, Mariana Murib pula menekankan pentingnya mencipta memori bersama keluarga.
“Krismas adalah perayaan tahunan yang mempertemukan seluruh keluarga. Kami berusaha mengekalkan tradisi ini, bukan sahaja untuk generasi dewasa tetapi juga untuk anak-anak dan cucu-cucu. Ini amat penting, terutamanya bagi ahli keluarga yang tinggal jauh, agar mereka dapat merasai suasana perayaan bersama,” jelasnya.
Meskipun arus permodenan semakin mengubah cara hidup masyarakat, semangat untuk mengekalkan tradisi dan nilai kekeluargaan tetap kukuh dalam sambutan Krismas.-TVS