KUCHING, 22 Dis: Seorang pemilik syarikat di Sibu kerugian RM580, 000 selepas menjadi mangsa kes penipuan e-dagang iaitu pembelian batu jed tidak wujud dalam talian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, pada pertengahan November 2022 semasa berada di rumah, lelaki tempatan berusia 60-an berkenalan dengan seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi Facebook.
“Setelah berkenalan mangsa menyatakan hasrat ingin membeli batu jed sebagai koleksi, kemudian diberi satu pautan https://www.yubao-jade.com yang menawarkan pelbagai jenis batu jed kepada mangsa.
” Mangsa yang tertarik dan berminat dengan tawaran tersebut telah berurusan dengan suspek menerusi aplikasi Whatsapp,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang terpedaya melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek berjumlah RM580,000.
“Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila mangsa masih diminta melakukan transaksi pembayaran lain.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tegasnya.-TVS