MIRI, 22 Dis: Seorang lelaki warganegara Indonesia yang dipercayai dibaham buaya di sungai berhampiran Jambatan ASEAN, Kuala Baram, ditemui pagi ini selepas operasi pencarian selama tiga hari.
Mangsa yang dikenali sebagai Salim dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.15 pagi, kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, PBT II Henry Jugah berkata, pencarian dijalankan secara menyeluruh dengan radius diperluaskan ke kawasan hulu dan hilir sungai.
“Pasukan SAR berjaya menemui mangsa di kawasan hilir sungai dalam keadaan menyedihkan. Kami menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kejadian berlaku pada 19 Disember sekitar jam 4.50 petang selepas pasukan bomba menerima panggilan kecemasan daripada seorang saksi bernama Jabing, yang melaporkan kehilangan mangsa di kawasan sungai berhampiran Jalan Kuala Baram.
Operasi pencarian dimulakan sejurus selepas panggilan diterima, tetapi usaha pada hari pertama terpaksa dihentikan menjelang malam kerana keadaan gelap.
Pada hari kedua, pencarian diteruskan walaupun berhadapan dengan hujan lebat dan radius pencarian diperluaskan sejauh 6 kilometer ke hulu dan 3 kilometer ke hilir sungai.
Pada hari ketiga, usaha pasukan SAR berhasil apabila mayat mangsa ditemui kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat secara rasmi ditamatkan pada jam 12.00 tengah hari tadi.-TVS