KUCHING, 22 Dis: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) memperuntukkan RM10.75 juta dari tahun 2018 hingga Disember tahun ini bagi membantu membanteras penyalahgunaan dadah di Sarawak.
Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha Kerajaan Sarawak di bawah Jawatankuasa One Stop Committee (OSC) bagi menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) untuk menyekat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dan substance di Sarawak adalah selari dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“JKDM Sarawak berkolaborasi dengan kementerian saya melalui OSC bagi MIDS Sarawak untuk memperoleh empat mesin mengimbas berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan bahan narkotik, tiga ekor Anjing Pengesan Dadah (APD), 2 kereta APD dan pembinaan rumah APD menggunakan geran khas Pelan Tindakan Bersepadu MIDS Sarawak yang disalurkan Kerajaan Sarawak berjumlah RM3,012,000.00,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, peruntukan tersebut tidak termasuk geran khas bagi memperoleh pelbagai peralatan, mesin dan instrument taktikal bagi melaksanakan Pelan Tindakan Bersepadu MIDS Sarawak yang disumbangkan kepada JKDM, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak berjumlah RM5.38 juta.
Mengulas mengenai kejayaan, Fatimah berkata, antara 2018 hingga Oktober 2024, dadah bernilai RM255 juta dirampas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKDM di Sarawak manakala harta pengedar bernilai RM29 juta disita oleh PDRM.
“Seramai 4,349 pengedar dadah ditangkap oleh PDRM dan JKDM di Sarawak. Seramai 69,202 tangkapan berkaitan pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah dan substans,” ujarnya.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 73.56 peratus atau 50,910 tangkapan adalah melibatkan kesalahan mengguna dan menagih dadah.
Beliau pada masa sama menyeru supaya semua pihak terus berganding bahu serta bekerjasama membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan substans di Sarawak. – TVS