KUCHING, 22 Dis: Hasil pendapatan yang diperoleh Kerajaan Sarawak adalah di bawah kuasa undang-undang dan perlembagaan.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, barisan pemimpin di bawah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa mencari inisiatif untuk menambah pendapatan negeri.
Menurutnya, setiap inisiatif dan cara yang digunakan adalah mematuhi setiap bidang kuasa undang-undang dan perlembagaan.
“Abang Jo kita sentiasa memikirkan kaedah untuk menambah pendapatan negeri kita.
“Pimpinan Sarawak cari pendapatan yang lebih berpandukan undang-undang yang sediakan serta perlembagaan persekutuan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kembali Ke Sekolah Anjuran SABERKAS Cawangan Tupong di Mydin Vista Tunku di Kuching pada Ahad.
Tambahnya, semua hasil pendapatan Sarawak pada hari ini dapat dibuktikan dengan pembangunan dan kemajuan yang dibawa dalam negeri khususnya di kawasan luar bandar.
Jelasnya, perkara tersebut sudah menunjukkan bagaimana kebijaksanaan pemimpin memperoleh hasil untuk dibelanjakan kembali kepada rakyat Sarawak. -TVS