KUCHING, 21 Dis: Sebanyak 74 tapak jualan ditawarkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sempena sambutan Ambang Tahun Baru 2025.
Tapak jualan di sepanjang Jalan Gambier itu akan beroperasi bermula 31 Disember 2024 pada jam 8.00 pagi hingga 1.00 pagi (1 Januari 2025).
DBKU dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM15 sepetak.
“Penjaja dikehendaki menggunakan meja, kerusi dan kanopi biru sendiri dengan ukuran 10′ x 10′ semasa menjalankan aktiviti perniagaan bagi memastikan keseragaman serta memudahkan kerja susun atur dilakukan.
“Pemohon dikehendaki untuk datang ke Bahagian Pelesenan, DBKU@Depo, Jalan Depo pada 26 Disember ini mulai jam 9.00 pagi dan membawa bersama dokumen lengkap,” menurut kenyataan itu.
Antara dokumen yang diperlukan adalah gambar berukuran pasport pemohon dan pembantu gerai, salinan kad pengenalan pemohon dan pembantu gerai, salinan sijil kursus pengendalian makanan pemohon dan pembantu gerai, salinan laporan pemeriksaan kesihatan beserta suntikan Pelalian Anti Tifoid (Vaksin Demam Kepialu) pemohon dan pembantu gerai, salinan kad pengendali makanan DBKU serta yuran penyertaan sebanyak RM15.
Untuk sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, sila hubungi Bahagian Pelesenan DBKU di talian 082-512955. – TVS