KUCHING, 22 Dis: Seramai 30 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Matang menerima bantuan barangan sekolah bagi sesi 2025.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, Program Kembali Ke Sekolah anjuran SABERKAS Cawangan Tupong adalah program kemasyarakatan yang dianjurkan setiap tahun.
Menurutnya, ia merupakan satu inisiatif SABERKAS untuk menyantuni pelajar sekolah di kawasan Tupong yang memerlukan.
“Bagi Program kemasyarakatan dan program pendidikan serta kebajikan, kita setiap tahun membahagikan kepada zon.
“Inilah bukti keprihatinan kerajaan kita dalam memastikan pendidikan anak-anak kita tidak terabai terutama sekali kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kembali Ke Sekolah Anjuran SABERKAS Cawangan Tupong di Mydin Vista Tunku pada Ahad.
Pelajar SK Matang yang terpilih itu dibawa ke Pasar raya Mydin Vista Tunku bagi membeli barang keperluan sekolah.
Antara barang keperluan yang dibeli adalah seperti pakaian seragam sekolah, ala tulis dan kasut. -TVS