ABUJA, 22 Dis: Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam satu kejadian rempuhan semasa inisiatif filantropi untuk mengagihkan barangan makanan dan minyak sayuran kepada penduduk tempatan menjelang sambutan Krismas di Okija, sebuah bandar di negeri tenggara Nigeria, Anambra, pada Sabtu, menurut polis pada Ahad, lapor Xinhua.
Tochukwu Ikenga, jurucakap polis di Anambra dalam satu kenyataan berkata “terdapat mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital tempatan” tetapi tidak memberikan angka yang tepat, berikutan insiden maut pada pagi Sabtu. Beliau berkata siasatan sedang dijalankan mengenai kejadian itu.
Sementara itu, ketua polis kebangsaan Nigeria Kayode Egbetokun mengeluarkan amaran keras terhadap “pengedaran barang keperluan dan pengagihan yang tidak teratur” membawa kepada rempuhan dan kematian dalam kalangan rakyat di negara itu.
Egbetokun dalam kenyataan pada Sabtu berkata amaran itu dikeluarkan sebagai respons terhadap peningkatan jumlah kejadian rempuhan yang mengakibatkan kecederaan dan kematian, terutamanya semasa pengagihan makanan oleh badan kebajikan menjelang sambutan Krismas, yang digambarkan sebagai tidak terkawal.
Pada Rabu, sekurang-kurangnya 35 orang maut dan enam lagi cedera parah dalam kejadian rempuhan semasa karnival kanak-kanak di bandar barat daya Ibadan. Sekurang-kurangnya 10 orang maut termasuk empat kanak-kanak manakala lapan lagi cedera dalam kejadian rempuhan berasingan semasa pengagihan barang bantuan di sebuah gereja tempatan di daerah Maitama, Abuja, ibu negara Nigeria, pada Sabtu.
Presiden Nigeria Bola Tinubu pada Sabtu menggesa pihak berkuasa negeri dan tempatan untuk melaksanakan langkah kawalan yang ketat di seluruh negara, berikutan insiden maut itu.
“Pihak berkuasa tempatan dan negeri tidak seharusnya lagi bertoleransi akibat kegagalan operasi oleh organisasi dan badan korporat yang terlibat dalam aktiviti kebajikan dan kemanusiaan,” kata Tinubu. -TVS