LIMBANG, 21 Dis: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menggalakkan pekebun getah untuk mengusahakan dan merancakkan semula tanaman getah di kawasan mereka.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, selain kelapw sawit, pokok getah menunjukkan trend positif berdasarkan harga pasaran semasa yang boleh menarik semula minat pekebun kecil.
Menurutnya, terdapat kawasan kebuh getah di bahagian ini yang tidak diusahakan dan perlu dimanfaatkan seluruh masyarakat yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada warga pekebun kecil RISDA.
“Pelbagai peruntukan dan bantuan diberikan oleh kerajaan untuk menggalak pekebun kecil mengusahakan ladang getah mereka.
“Walaupun rakyat ada pilihan untuk menanam sawit, tetapi getah juga sebenarnya punca pendapatan,” katanya ketika ditemui media selepas Program Gerakan Kelestarian Komoditi Getah (GKKG), anjuran RISDA Bahagian Limbang di Dewan Kampung Pabahanan hari ini.
Hadir sama Ketua Unit Perancangan Pejabat RISDA Negeri Sarawak Emyza Aisah Atang dan Pegawai RISDA Bahagian Limbang Mohd Nazli Ayub.
Berdasarkan statistik, sebanyak 447.1244 hektar kebun getah di Limbang yang tidak diusahakan melibatkan seramai 299 pekebun kecil.
Sehubungan itu kata Hasbi, RISDA mengambil pendekatan proaktif pada masa ini dengan memperkenalkan Gerakan Kelestarian Komoditi Getah (GKKG) bagi merancakkan sektor pengeluaran hasil getah oleh pekebun kecil.– TVS