KUCHING, 21 Dis: Skuad futsal TVS FC terpaksa melupakan impian untuk mara ke suku akhir Karnival Futsal Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun 2024 selepas gagal melepasi peringkat kumpulan, meskipun hanya dipisahkan dengan satu mata daripada pasukan Education.
Memulakan kempen dalam Kumpulan A dengan langkah kiri, TVS FC terpaksa menelan dua kekalahan tipis berturut-turut, tewas 1-0 kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Pendidikan Sarawak (Education).
Namun, semangat juang skuad di bawah kendalian pengurus pasukan, Nazuwan tidak luntur begitu sahaja.
Bangkit dengan semangat yang luar biasa, TVS FC mencatatkan kemenangan bergaya dalam tiga perlawanan seterusnya.
Menerusi kemenangan 3-1 ke atas FINAS Borneo, diikuti dengan kemenangan 3-0 terhadap MBKS B, dan diakhiri dengan kemenangan 4-2 ke atas Welfare A, mereka akhirnya mengumpul sembilan mata.
Namun, bagi Nazuwan ia merupakan satu pencapaian yang mengagumkan walaupun gagal menempah tiket ke pusingan kalah mati.
“Saingan kali ini amat sengit, semua pasukan memberikan cabaran yang hebat. Mungkin permulaan kami agak kurang serasi, tetapi dalam tiga perlawanan terakhir, kami berjaya membentuk momentum yang sangat baik dan memberikan persembahan yang mantap.
“Insya Allah, TVS FC pasti akan bangkit lebih kuat pada kejohanan seterusnya,” ujar Nazuwan dengan penuh optimis.
Kegigihan dan semangat tidak kenal putus asa TVS FC menjadi inspirasi kepada semua, dan meskipun gagal melangkah lebih jauh, tetapi menunjukkan semangat juang yang tidak mudah menyerah.
Karnival Futsal Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun 2024 merupakan anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak.-TVS