KUCHING, 21 Dis: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini menghadiri Majlis Jamuan Teh Krismas Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak (ACS) 2024 di Pusat Ibadah Ekumenikal Kristian di sini.
Ketibaan Tun Wan Junaidi bersama-sama isteri pada 3.11 petang diiringi Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil dan isteri Datin Lee Chai Fong serta dif kenamaan lain.
Majlis dimulakan dengan doa pembukaan dipimpin Uskup Agong Dato Dr Simon Poh diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengerusi ACS, Uskup Datuk Danald Jute.
Dalam ucapan aluan tersebut, Danald turut berkata kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada majlis berkenaan bukan sekadar simbolik semata-mata tetapi sebagai seorang pemimpin kepada semua rakyat di wilayah ini.
“Kami sebagai masyarakat Kristian ingin menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada Tun Wan Junaidi, beliau telah membuat kami berbangga sebagai rakyat Sarawak.
“Dalam konteks konflik yang melanda negara dan perpecahan serta ketidakpercayaan antara kaum yang dicetuskan sebahagian ahli politik dan parti politik, Tun Wan Junaidi berdiri teguh sebagai harapan serta menunjukkan jalan yang benar menuju Malaysia yang lebih baik. Terima kasih kami ucapkan,” katanya.
Majlis kemudiannya diserikan dengan acara memotong kek sebagai simbolik rasmi majlis tersebut diikuti penyampaian cenderamata kepada Yang di-Pertua Negeti Sarawak.
Turut berlangsung penyerahan sumbangan hadiah kepada penerima daripada Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak dan The Salvation Army.
Hadir sama Timbalan Pengerusi ACS, Uskup Dr Lau Hui Ming, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang dan ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap. – TVS