BINTULU, 21 Dis: Tiga cedera selepas kereta dinaiki terbabas lalu terbalik di Kilometer 16 Lebuhraya Pan Borneo di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Sat Rawing berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 8.42 pagi dengan menggerakkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.
“Kemalangan kendiri melibatkan sebuah Produa Aruz yang terbabas ke tepi jalan lalu terbalik.
“Seramai tiga lelaki menaiki kenderaan tersebut, dua orang berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pihak bomba, seorang lagi masih berada dalam kenderaan mengadu sakit pada bahu kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba bertindak memasang cervical collar pada mangsa dan mengeluarkan mangsa menggunakan spinal board.
“Dua orang telah dihantar ke hospital menggunakan kenderaan awam manakala seorang  lagi mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.-TVS