JOHOR BAHRU, 21 Dis: Satu sindiket pemerdagangan manusia yang mengenakan bayaran RM13,000 setiap seorang kepada warga Bangladesh tumpas selepas sebuah rumah transit di Larkin Indah di sini diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Khamis lepas.
Pengarah Imigresen Negeri Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata menerusi Ops Serkap kira-kira 2.50 petang itu, dua lelaki warga Bangladesh berumur 37 dan 42 tahun dipercayai penjaga rumah transit dan pemudah cara sindiket berkenaan telah ditahan.
“Aktiviti penyeludupan warga Bangladesh ke Malaysia melalui Singapura ini dipercayai telah dijalankan sejak dua bulan lepas.
“Dalam serbuan itu beberapa keping pasport Bangladesh dan wang tunai berjumlah RM14,500 dirampas serta sebuah kenderaan turut disita. Ketika serbuan hanya terdapat dua lelaki terbabit di rumah transit itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu susulan operasi dan tangkapan sebelum ini terhadap seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki diseludup masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.
Dalam kenyataan berasingan, Mohd Rusdi berkata pihaknya telah menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki dan seorang remaja perempuan masing-masing warga Filipina berumur 12 dan 13 tahun dipercayai pekerja di sebuah kilang pembuatan barangan di Senai, Kulai pada Khamis lepas.
Menerusi operasi Ops Mahir pada 6.54 petang itu, seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun yang juga pegawai sumber manusia di kilang terbabit turut ditahan.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini untuk tindakan lanjut.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Pasport 1966 (Akta 150). – TVS