SEBUYAU, 21 Dis: Sarawak terus mencuri perhatian di pentas antarabangsa apabila dasar dan kepimpinan wilayah ini menarik minat pelabur serta pegawai tinggi Jepun semasa lawatan kerja Kerajaan Sarawak ke negara matahari terbit itu baru-baru ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, mendedahkan bahawa perbincangan dengan syarikat-syarikat Jepun dan pegawai dari Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun membuka peluang besar untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala.
“Semasa kita di Jepun, kita berjumpa banyak syarikat dan juga pegawai daripada METI Jepun untuk membincangkan pelbagai usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan, lebih-lebih lagi antara Jepun dan Sarawak.
“Kita cukup bangga bahawa nama Sarawak sudah menjulang di Jepun. Mereka tertarik dengan dasar-dasar kita, hala tuju yang kita laksanakan dan cara kita mengurus sumber wilayah ini dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau hari ini.
Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Awang Tengah turut menekankan bahawa kepercayaan Jepun terhadap Sarawak adalah hasil kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berjaya meletakkan dasar pembangunan wilayah pada landasan yang kukuh dan jelas.
Sarawak kini dilihat sebagai destinasi pelaburan utama kerana kestabilan politik dan ekonominya, selain kehidupan masyarakat yang harmoni serta selamat.
Jepun juga kagum dengan usaha Sarawak memperkasa kemahiran serta bakat anak muda wilayah ini yang disifatkan sebagai langkah strategik dalam pembangunan modal insan.
“Sarawak berada dalam kedudukan yang stabil – kerajaan kita stabil, politik kita stabil, dan rakyat hidup dalam keadaan harmoni. Ini semua menarik perhatian Jepun,” tambahnya.
Lawatan kerja itu telah memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Sarawak dan Jepun, membuka peluang lebih luas untuk sektor strategik seperti tenaga hijau, teknologi tinggi, dan pengurusan sumber mampan.
Dengan visi kepimpinan yang jelas, Sarawak kini bersedia melangkah lebih jauh di persada antarabangsa, membuktikan bahawa wilayah ini bukan sahaja kaya dengan sumber semula jadi tetapi juga dengan bakat serta potensi yang mampu mencetus perubahan global. – TVS