SEBUYAU, 21 Dis: Sarawak meluahkan kekesalan apabila ada pihak masih buta terhadap intipati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta perjuangan Kerajaan Sarawak dalam menuntut kembali hak-hak yang terhakis sejak penubuhan Persekutuan Malaysia 61 tahun lalu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata keadaan ini jelas apabila terdapat rakyat Malaysia yang membidas dan mengkritik langkah Kerajaan Sarawak melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), seolah-olah wilayah ini mahu merampas kekayaan minyak dan gas daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
“Saya mahu tekankan di sini bahawa walaupun isu pengagihan gas antara PETRONAS dan PETROS telah selesai, yang penting ialah kita hanya mahu mendapatkan semula hak yang selama ini terhakis, bukan mengambil lebih daripada apa yang menjadi hak kita.
“Saya kesal kerana ada di antara rakan-rakan kita di luar Sarawak yang masih buta atau enggan memahami perjuangan kita. Hak kita telah dinyatakan secara jelas dalam undang-undang yang wujud sejak penubuhan Malaysia dan tidak pernah dimansuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Sehubungan itu, Julaihi menyeru Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya memasukkan sukatan pelajaran mengenai MA63 dan dokumen-dokumen penting berkaitan penubuhan Persekutuan Malaysia dalam silibus pendidikan.
Langkah ini, katanya, penting untuk memastikan semua rakyat Malaysia memahami erti sebenar penubuhan Persekutuan Malaysia serta hak-hak istimewa Sabah dan Sarawak yang terkandung dalam perjanjian tersebut.
“Saya mencadangkan agar penubuhan Persekutuan Malaysia dijadikan salah satu silibus wajib di peringkat sekolah dan universiti. Pastikan pelajar wajib lulus silibus ini supaya mereka benar-benar memahami intipati MA63.
“Barulah orang faham dan tidak lagi mempersoalkan kenapa Sabah dan Sarawak menuntut semula hak daripada Putrajaya. Pemahaman ini juga akan menjelaskan isu seperti keperluan pasport untuk memasuki Sabah dan Sarawak. Walaupun perkara ini telah diketahui umum, penjelasan mendalam masih belum diajar sepenuhnya,” katanya lagi. – TVS