DALAT, 21 Dis: Sebuah kapal layar milik warga Rusia yang dinamakan Pilgrim terkandas di beting pasir di Pantai Kuala Oya, Dalat semalam akibat cuaca buruk dan kerosakan alat navigasi (GPS).
Kejadian berlaku sekitar jam 8 malam ketika ombak kuat, angin kencang dan hujan lebat melanda namun kesemua empat kru kapal berjaya menyelamatkan diri dan berlindung di daratan.
Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chunggat berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang melihat kapal tersebut tersangkut di beting pasir kira-kira 50 hingga 100 meter dari pantai.
“Kami segera menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Bintulu dan Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching, selain Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dalat.
“Namun, keadaan ombak yang kuat menyebabkan pihak polis dan penduduk setempat tidak dapat memberikan bantuan segera kepada kru kapal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pegawai bersama beberapa anggota kemudian bergegas ke lokasi, namun tidak dapat mendekati kapal yang terkandas pada jarak kira-kira 100 meter dari pantai berikutan ombak kuat dan hujan lebat.
“Ketika polis meninjau dari Tapak Kuala Oya di pantai, mereka ternampak cahaya lampu di kapal berkenaan dan kru juga menyalakan suar berwarna merah sebagai isyarat meminta bantuan,” ujarnya.
Pada sekitar jam 10 malam ketika hujan mulai reda, Saga berkata, pasukan polis yang diketuai Inspektor Zulhilmi Panggis dengan bantuan penduduk kampung telah meredah hutan tepi pantai sejauh 300 meter.
“Mereka berjaya mengesan semua empat anak kapal dan krunya selamat yang sedang berlindung di daratan pantai,” katanya.
“Kru kapal kesemuanya lelaki warga Rusia, didapati selamat setelah keluar dari kapal yang tersadai ke tepi pantai menggunakan life raft mereka dan berlindung daripada ombak serta tiupan angin kuat,” jelasnya.
Menurutnya, kesemua kru kapal itu tidak memerlukan bantuan pihak polis, kerana mereka hanya menunggu air pasang bagi membolehkan keluar dari beting pasir.
“Namun mereka hanya memohon bantuan kapal tunda untuk menarik kapal mereka yang terkandas.
“Kesemua empat kru warga Rusia ini mempunyai dokumen dan pasport yang sah serta memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis ketika ditemubual untuk mengetahui punca mereka terkandas,” katanya.
Difahamkan kapal tersebut bersama empat kru tersebut berlayar dari Filipina, singgah di Labuan, dan dijadualkan ke Kuching. – TVS