SIMUNJAN, 21 Dis: Kemenangan besar Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 tiga tahun lepas bukanlah alasan bagi parti itu untuk menjadi riak dan berdiri sendiri membentuk kerajaan.
Naib Presiden PBB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, PBB bersedia dengan parti politik lain yang sehaluan dalam membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan memastikan kestabilan politik berterusan di wilayah ini.
Menurutnya, kejayaan memenangi lebih separuh daripada kerusi yang dipertandingkan pada PRN Sarawak ke-12 menjadikan PBB sebagai parti tulang belakang GPS.
“Daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, kerusi yang dipegang PBB adalah 47 kerusi. Walaupun parti yang mempunyai 41 kerusi mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan namun kita tidak bersifat begitu.
“Ini kerana kita mahu Sarawak mempunyai ramai pemimpin suku kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menangguhkan Mesyuarat Perwakilan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan di sini, pada Sabtu.
Karim menjelaskan, kesepakatan melibatkan parti komponen di bawah GPS juga menjadikan wilayah ini terus maju dari sudut ekonomi sehingga mampu menyediakan Belanjawan Sarawak 2025 berjumlah RM15.8 bilion.
Sehubungan itu menurutnya, ahli PBB perlu terus bekerjasama memastikan kestabilan politik di Sarawak terus kukuh..
Hadir sama Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Samat Gani dan Pegawai Daerah Simunjan Seroji Ludin-TVS