Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Hasbi Habibollah beramah-mesra dengan para penumpang pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Hari Krismas Tahun 2024 di Kuching pada Jumaat. Foto TVS

Berhemah dan bertoleransi ketika memandu semasa perayaan Hari Krismas – Hasbi

KUCHING, 21 Dis: Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Hari Krismas Tahun 2024 Kementerian Pengangkutan (MOT) merupakan insiatif kementerian bersama rakan strategik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Kuching dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak.

Malah, ia adalah usaha untuk mendidik dan menyedarkan pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan serta mengamalkan pemanduan berhemah, terutama pada musim perayaan Hari Krismas yang bakal tiba.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, program advokasi diharap dapat membantu dalam mengurangkan kadar kemalangan yang meningkat saban tahun, terutama semasa musim perayaan dan ini dapat dicapai dengan mengamalkan sikap bertoleransi semasa berada di jalan raya.

Menurutnya lagi, pihak MOT dan rakan strategik akan turut melakukan pemeriksaan berkala ke atas pemandu-pemandu bas ekspres bagi memastikan mereka bebas daripada menggunakan bahan terlarang semasa membawa penumpang kelak.

“Kita mahu melihat dan memastikan bas-bas yang akan membawa balik para penumpang ke seluruh Sarawak berada dalam keadaan selamat dan diperiksa sepenuhnya termasuklah tayar dan sistem brek.

“Kami juga akan memastikan semua pemandu bas menjalani ujian saringan untuk memastikan mereka ini bebas daripada bahan terlarang. Jika keputusan saringannya negatif, baharunya mereka diberi slip untuk membawa bas dan kalau tidak lulus, maka mereka perlu digantikan dengan pemandu lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Hari Krismas Tahun 2024 di Terminal Bas Kuching Sentral, di sini pada Jumaat.

Hasbi turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika dalam perjalanan pulang menuju ke destinasi masing-masing serta merancang dan mengatur jadual serta keperluan yang diperlukan dalam perjalanan untuk mengelak sebarang kesulitan daripada berlaku.

Untuk rekod, menurut laporan yang dikeluarkan oleh PDRM Kontinjen Sarawak baharu-baharu ini, sehingga November 2024, terdapat peningkatan sebanyak 466 kes kemalangan jalan raya di Sarawak, yakni 19,964 jumlah kes berbanding 19,498 kes kemalangan jalan raya yang dicatatkan pada tahun 2023 dan peningkatan kes kemalangan sebanyak 2.4 peratus ini amat membimbangkan.

Pada tempoh masa yang sama juga, kes kemalangan maut di Sarawak dilaporkan menurun sebanyak tiga peratus yakni daripada 336 kes pada tahun 2023 kepada 326 kes pada tahun ini.

Inisiatif advokasi ini dilihat sebagai langkah yang proaktif dalam membendung serta meminimakan kes-kes kemalangan di jalan raya terutama di Lebuhraya Pan Borneo yang bakal menjadi tumpuan orang ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing sempena perayaan Hari Krismas. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan