KUALA LUMPUR, 21 Dis: Bank Rakyat hari ini memperkenalkan produk inovatif seperti My First Credit Card-i dan Kad Kredit-i patuh Syariah khas untuk generasi muda.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, kad kredit itu direka khas buat golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan dan pengguna kali pertama.
“My First Credit Card-i ini direka khusus untuk memenuhi keperluan kewangan generasi muda, sambil mengekalkan ciri-ciri patuh Syariah yang menjadi tunjang kepada semua produk Bank Rakyat.
“Bank Rakyat sentiasa komited dalam memenuhi kehendak pelanggan kami seiring dengan keperluan semasa. Produk seperti My First Credit Card-i bukan sahaja melengkapkan gaya hidup kewangan generasi muda tetapi juga menyokong agenda kerajaan ke arah masyarakat tanpa tunai, menerusi transaksi digital seperti Kad Kredit-i, Kad Debit-i, i-MerchantRAKYAT dan QR DuitNow Bank Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Muslimah Fest 2024 di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Shahril berkata, berbeza dengan Kad Kredit-i sedia ada di pasaran, My First Credit Card-i menawarkan pelbagai kelebihan seperti Pelan Ansuran 0 peratus yang mana pembelian serendah RM500 dengan pilihan ansuran enam, 12, atau 24 bulan serta Enhanced Rakyat Reward Points yang membolehkan pemegang kad mendapat lima kali mata ganjaran untuk setiap perbelanjaan RM10 dalam talian dan satu kali mata ganjaran untuk pembelian di kedai fizikal.
Sementara itu, menyentuh mengenai Muslim Fest 2024 anjuran Bank Rakyat pula, beliau berkata, ia mendapat sambutan yang memuaskan yang mana kira-kira 15,000 pengunjung hadir memeriahkan acara tersebut.
Festival selama tiga hari bermula 20 Disember itu menghimpunkan lebih 70 jenama fesyen terkenal seperti Rockqueen by Ella, Alhumaira dan Wardah Beauty, dengan tawaran diskaun sehingga 70 peratus, hadiah cabutan bertuah bernilai RM60,000 serta pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung.
Jelasnya, inisiatif tersebut merupakan simbol komitmen Bank Rakyat dalam menyokong usahawan dan perkembangan industri fesyen Muslimah tempatan di samping memperkasa penjenamaan Kad Kredit-i Muslimah Bank Rakyat. – TVS