BETONG, 20 Dis: Seorang wanita cedera selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Bengang Kampung Asam di sini, petang tadi.
Komander Operasi, Jusmandie Jamaie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 6.57 petang dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi kejadian.
“Setibanya pihak bomba di lokasi kejadian, didapati pokok tumbang menghempap sebuah kereta Proton Saga.
“Terdapat seorang mangsa wanita berumur 24 tahun dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa bersama APM yang telah berada di lokasi kejadian sebelum ketibaan pihak bomba, sehingga berjaya dikeluarkan.
“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dihantar ke Hospital Betong menggunakan ambulans APM.
“Pihak bomba melakukan kerja-kerja memotong dan membersihkan pokok tumbang sehingga selesai,” ujarnya. – TVS