KUALA LUMPUR, 20 Dis: Kerajaan akan melaksanakan pemberian subsidi diesel kepada pengusaha feri dan bot penumpang, serta perkhidmatan feri roro di pulau-pulau utama negara berkuat kuasa 20 Februari 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata harga siling diesel bersubsidi yang ditetapkan adalah pada RM2.50 seliter dengan kadar maksimum subsidi sebanyak 50 sen seliter.
Jelas beliau, tuntutan pertama boleh dikemukakan oleh para pengusaha yang terlibat pada atau sebelum tarikh penguatkuasaan.
“Subsidi diesel ini akan dibekalkan di laluan-laluan strategik perkhidmatan feri atau bot penumpang dan feri roro seperti Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan, di sini hari ini.
Sementara itu, Anthony berkata pemberian subsidi tersebut adalah sejajar dengan usaha kerajaan memastikan kelangsungan dan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam.
Menurutnya, subsidi itu akan memberikan impak positif kepada para pengusaha dengan mengurangkan beban kos operasi khususnya melibatkan kos bahan bakar.
“Pengusaha yang layak hendaklah mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan bagi membolehkan mereka menikmati subsidi diesel.
“Pengusaha juga mesti berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia dan mendapat bekalan diesel daripada syarikat bunker atau ‘skid tank’ yang disahkan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Selain itu jelas beliau mereka juga perlu mengemukakan permohonan kuota pembelian diesel kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel (JKSD) di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Jelas beliau, tuntutan subsidi diesel perlu dibuat secara bulanan berdasarkan kadar yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada setiap bulan.-TVS.