SUNGAI PETANI, 20 Dis: Seorang pelajar maut manakala sembilan rakannya cedera dalam kemalangan melibatkan 10 buah motosikal di Kilometer 79.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Amirul Ahmad, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku akibat mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda 100 gagal mengawal kenderaannya.
Katanya, semasa kejadian itu, sebanyak 10 buah motosikal ditunggang pemuda berusia 16 hingga 20 tahun sedang bergerak dari arah Gurun menghala ke Alor Setar.
“Semasa sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dari arah belakang telah masuk di antara (kumpulan) lima buah motosikal sebelum bergesel antara satu sama lain dan terjatuh di lorong kiri.
“Kemudian datang empat buah motosikal lain dari arah belakang tidak sempat mengelak dan berlanggar satu sama lain, lalu terjatuh di atas jalan raya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, kejadian tersebut menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim di sini.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan kira-kira pukul 10 pagi tadi mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan parah pada kepala.
“Sementara itu, sembilan lagi penunggang yang cedera, dibawa ke Hospital Pendang dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut akibat pelbagai kecederaan,” katanya lagi.
Menurut Wan Azharuddin, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS