MIRI, 20 Dis: Dua lelaki maut dalam kemalangan lori kargo merempuh bahagian belakang sebuah lori treler yang diparkir di bahu jalan di Jalan Pan Borneo, KM859, berhampiran Ladang Tiga, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata kejadian berlaku sekitar jam 1.30 pagi apabila kedua-dua lori sedang dalam perjalanan menghala ke Miri.
“Rempuhan tersebut menyebabkan lori kargo itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, manakala bahagian belakang trailer lori itu turut rosak.
“Akibat kemalangan ini, pemandu lori, 26, dan kelidannya, 31, tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Alexson, pemandu lori trailer berusia 49 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk menyiasat punca kemalangan.
“Kami ingin mengingatkan semua pemandu supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas untuk mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang,” tegasnya.
Kes ini kini sedang dalam siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.-TVS