KUCHING, 20 Dis: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Cawangan Sarawak perlu menjalinkan kerjasama dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan di wilayah ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, kerjasama boleh dijalinkan dengan agensi di Sarawak bagi meningkatkan penglibatan semua komuniti.
Menurutnya, ia sekali gus dapat memastikan MTPN meluaskan pasaran termasuk di kawasan luar bandar Sarawak.
“Saya melihat beberapa program anda tertumpu di Kuching iaitu di bandar namun Sarawak adalah sebuah negeri yang besar.
“Jadi saya percaya kita boleh pergi ke beberapa kawasan luar bandar dan mula memperkenalkan beberapa jenama di sini,” katanya.
Beliau berucap semasa Consumers Choice Award 24/25 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di Kuching pada Khamis.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak memperuntukkan bajet tinggi kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan untuk menganjurkan pelbagai acara di Sarawak.
Sehubungan itu menurutnya, MTPN perlu memanfaatkan kehadiran pelancong untuk mempromosikan jenama mereka sekali gus meningkatkan hasil produk tempatan.
“Terdapat banyak acara yang berlangsung di Sarawak dan bajet yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak khususnya bagi bahagian pelancongan dan warisan besar.
“Jadi saya percaya jika perniagaan anda kekal dipromosikan maka ia akan membina nama baik untuk perniagaan anda dan juga nama baik Sarawak kepada tetamu kita dari luar negara,” ujarnya.
Semantara itu, pada Majlis Consumers Choice Award 24/25, sebanyak 50 penerima anugerah menerima sijil penganugerahan pada malam tersebut.
Antara penerima anugerah adalah Singpore Chicken Rice, King Laksa Sarawak dan Lokka House. -TVS