KUCHING, 20 Dis: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak memberi bantuan kepada sebuah kapal layar Nyathi yang mengalami kerosakan enjin di perairan Tanjung Datu di sini, semalam.
Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, berdasarkan maklumat yang diterima pada jam 1.10 tengah hari, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuching, Maritim Malaysia mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam 3.40 petang dengan mengatur gerak enam anggota bersama bot pengawal 42 ke lokasi kejadian.
“Walaupun cuaca buruk, hujan lebat dan laut bergelora, aset Maritim Malaysia berjaya menjumpai kapal layar tersebut pada jam 6.00 pagi di perairan Pulau Lakei iaitu 2.66 batu nautika utara Pulau Lakei.
“Kedua-dua mangsa Zakaria Mat Kamis, 70, dan Hazuwa Ahmad Yusuf, 56, selamat tiba di Jeti Marina, Kuching pada jam 11 pagi dengan diiringi aset Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dengan penemuan itu, CARILAMAT ditamatkan pada jam 11.15 pagi.
Kapal layar terbabit berlepas dari Royal Selangor Yatch Club, Pelabuhan Klang pada 12 Disember (Khamis) lalu sebelum mengalami kerosakan enjin di perairan Kuching.-TVS