KUCHING, 20 Dis: Ketinggalan secara agregat satu gol kepada Sabah FC tidak melunturkan semangat pemain Kuching City FC (KCFC) untuk mempamerkan aksi lebih bertenaga dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2024/2025.
KCFC akan menentang Sabah FC di Stadium Likas Kota Kinabalu pada 23 Disember ini.
Ketua Jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak berkata, dua pemain yang sedang beraksi bersama skuad kebangsaan, Jimmy Raymond dan Muhammad Danial Amier Nurhisham mungkin dipanggil untuk menambah tonik pasukan.
Bagaimanapun menurutnya, ia bergantung kepada keadaan kedua-dua pemain kerana masih mengikuti kem skuad kebangsaan yang sedang menghadapi ASEAN Mitsubishi Electric Cup 2024.
“Kita memang merancang ke arah itu dan akan melihat kemungkinan mendapatkan khidmat kedua-dua pemain sebagaimana dilakukan Sabah FC ketika aksi suku akhir pertama hujung minggu lalu,” katanya.
Pada masa menurutnya, beliau tidak mahu mengganggu fokus kedua-dua pemain terbabit yang masih bersama skuad kebangsaan.
“Ketiadaan Jimmy dan Muhammad Danial memberi peluang kepada pemain simpanan untuk beraksi di dua posisi berbeza itu.
“Kita dapat saksikan pengganti kedua-dua pemain melaksanakan tugas dengan begitu sempurna,” ujarnya.-TVS