LIMBANG, 20 Dis: Kenaikan gaji pertama Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diterima penjawat awam di negara ini semalam bukannya retorik sebaliknya bukti jelas kesungguhan kerajaan menjaga kebajikan dan meringankan beban penjawat awam.
Timbalan Presiden Dua Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Azman Shah Abdul Rahman berkata, pelarasan gaji secara berfasa iaitu lapan peratus dilaksanakan pada Disember 2024 dinikmati anggota perkhidmatan dan pesara awam dengan bayaran pertama bermula semalam.
Menurutnya, selain Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak juga menerima pakai SSPA membabitkan penambaikan dan penyelarasan gaji semua anggota perkhidmatan awam di Sarawak.
“Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya mendengar rintihan, keluh kesah dan apa yang kita minta akhirnya tercapai dan realitinya kita lihat di dalam slip gaji kita semalam, maknanya ia bukan sekadar retorik ia adalah kesungguhan daripada kerajaan ketika ini.
“Kami juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan Premier Sarawak dan Kerajaan Sarawak yang telah melakukan sesuatu yang hebat yang belum pernah berlaku dalam kerajaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui media pada lawatan ke Limbang termasuk ke Jabatan Penyiaran Malaysia Limbang hari ini.
Turut hadir Pengerusi CUEPACS Sarawak Jubilee Jineh dan Pengurus Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) Limbang, Muhamad Zakwan Yusof.
Dalam pada itu Azman menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan atas kenaikan gaji pertama SSPA dan pelarasan gaji secara berfasa iaitu lapan peratus dilaksanakan pada Disember 2024 yang dinikmati anggota perkhidmatan dan pesara awam.
Tambahnya, dengan pelarasan gaji baharu itu, CUEPACS turut menyarankan penjawat awam menggandakan usaha dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat. -TVS.