BAKU (Azerbaijan), 20 Dis: Azerbaijan mengumumkan pada Khamis bahawa negara itu kini menjadi anggota terbaharu Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8), lapor Agensi Anadolu (AA).
Menurut kenyataan Kementerian Luar Azerbaijan, negara itu telah “dipilih sebulat suara” sebagai anggota baharu kumpulan berkenaan pada Sidang Kemuncak ke-11 D-8 yang berlangsung di Kaherah, Mesir.
Kenyataan itu menekankan bahawa buat kali pertama sejak penubuhannya, D-8 telah berkembang dengan menerima anggota baharu.
Menggelar D-8 sebagai “Islamic Eight,” kenyataan itu menyerlahkan potensi ekonomi blok berkenaan yang dihuni oleh “60 peratus umat Islam dunia.”
Ia berkata keahlian Baku dalam D-8 sebagai “contoh jelas” pengaruh Azerbaijan di peringkat antarabangsa dan kepercayaan dunia terhadap negara ini yang semakin meningkat.
Kenyataan itu turut mengatakan bahawa Azerbaijan akan memainkan “peranan penting dalam mempertahankan prinsip asas D-8 serta memperkukuh kerjasama dalam organisasi itu.”
Ia turut menegaskan kepentingan “keselamatan, kestabilan, kemakmuran, dan kerjasama yang saling memanfaatkan” di rantau ini, serta menggalakkan hubungan dalam bidang “ekonomi dan perdagangan, pengangkutan, komunikasi, dan beberapa sektor penting lain.”
Dengan “peranan sebagai jambatan antara Timur dan Barat” serta sebagai hab budaya, agama, dan tamadun dalam dunia Islam, keahlian Azerbaijan dijangka menyumbang secara signifikan kepada “mengukuhkan solidariti Islam, mempromosikan nilai Islam di seluruh dunia” dan “memerangi Islamofobia.”
D-8 ditubuhkan pada 15 Jun 1997 di Istanbul.
Selain Azerbaijan, anggotanya termasuk Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan, dan Turkiye.
Sekretariat organisasi ini berpusat di Istanbul.
Semua negara anggota juga merupakan sebahagian daripada ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Jumlah penduduk negara-negara anggota D-8 adalah kira-kira 1.2 bilion, dengan jumlah perdagangan luar mencecah US$2.3 trilion, yang menyumbang kira-kira lima peratus daripada perdagangan global. -TVS