Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pada hari terakhir lawatan kerja di Jepun, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan lawatan sulung ke Takasago Hydrogen Park di Himeji. Foto Zaim Zharfan (TVS)

Sarawak mahu jadi peneraju transformasi tenaga global melalui hidrogen

ByDouglas Elliot

HIMEJI, 19 Dis: Industri hidrogen dijangka akan mengubah landskap peralihan tenaga dunia dan Sarawak tidak mahu terlepas peluang untuk berada di barisan hadapan dalam evolusi ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan kepentingan kerjasama inovasi dan teknologi dalam memajukan agenda tenaga Sarawak.

“Hidrogen dijangka memainkan peranan transformatif dalam landskap tenaga global.

“Justeru, kerjasama dengan pemain teknologi terkemuka seperti Mitsubishi Power dan menyaksikan penyelidikan serta pembangunan yang sedang berlangsung dalam bidang ini adalah langkah penting untuk mengoptimumkan potensi penuh hidrogen dan memacu pertumbuhan mampan untuk rantau kita,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan sulung ke Takasago Hydrogen Park di sini, hari ini.

Fasiliti yang terletak di wilayah Hyogo berkenaan merupakan tapak hidrogen bersepadu yang dibangunkan oleh syarikat tenaga, Mitsubishi Power.

Lawatan itu bertujuan untuk melihat sendiri fasiliti pembuatan turbin gas hidrogen untuk loji janakuasa kitaran gabungan turbin gas (CCGT) di Miri, selain mengadakan perbincangan bersama syarikat itu bagi mencapai aspirasi Sarawak dalam memantapkan lagi ekosistem hidrogennya.

Lawatan ke tapak ini juga menekankan peranan penting inovasi dan teknologi dalam memajukan agenda tenaga Sarawak.

Ketibaan beliau disambut oleh barisan kepimpinan syarikat berkenaan yang diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (Bahagian Perniagaan CCGT) Mitsubishi Heavy Industries Ltd, Takuya Murase dan Timbalan Presiden Eksekutif (Perniagaan dan Pemasaran Antarabangsa) Mitsubishi Power, Takao Tsukui.

Dalam lawatan tersebut, Abang Johari dan delegasi dari Sarawak dibawa sekitar fasiliti itu, selain diberi taklimat mengenai teknologi generasi terbaharu dalam pengeluaran hidrogen serta proses pengesahan pembakaran hidrogen dalam turbin gas canggih.

Terdahulu, Mitsubishi Power telah dipilih untuk membekalkan turbin gas M701F berkapasiti 500MW untuk loji CCGT milik Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Turbin gas tersebut direka untuk membakar bahan api yang mengandungi sehingga 30 peratus hidrogen menjadikannya loji penjanaan tenaga paling canggih di Malaysia.

Projek CCGT merupakan salah satu projek infrastruktur utama di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) termasuk Saluran Paip Gas Samalaju (SPL) dan Hab Rendah Karbon Kuching dan dijangka akan beroperasi pada penghujung 2027.

Ditubuhkan pada 2022, Takasago Hydrogen Park merupakan tapak hidrogen bersepadu yang mengintegrasikan pembangunan, demonstrasi, dan pengesahan teknologi pengeluaran, penyimpanan serta penggunaan hidrogen di satu kawasan.

Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah dua Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi serta Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Datuk Amar Tan Sri Abdul Aziz Husain. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan