KUCHING, 19 Dis: Sarawak diakui berupaya menjadi antara rakan strategik yang ideal kepada China, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Menurutnya, perkembangan progresif serta holistik segmen sosioekonomi menyakinkan ramai pelabur serta bakal pelabur untuk melihat seterusnya merasai sendiri apa yang boleh ditawarkan di wilayah ini.
“Ramai yang ingin menjalinkan kerjasama dengan wilayah ini dan antaranya industri perbankan. Para pemain industri perbankan menzahirkan hasrat ingin datang ke Sarawak.
“Ada yang datang dari negara Timur Tengah datang dan belajar tentang Sarawak serta berhasrat untuk melabur di wilayah ini, dan sebagai contoh pelabur-pelabur daripada Jepun dan Korea dalam menghasilkan hidrogen berskala besar di Bintulu.
“Ini membuktikan bahawa para pelabur yakin akan ekonomi wilayah ini, yakin kepada kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mereka juga yakin kerana kami memiliki kestabilan politik dan juga pengurusan kewangan yang cemerlang, jadi orang yakin akan kebolehan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Kerjasama Malaysia (Sarawak) – China dan Mesyuarat Meja Bulat Bandaraya Persahabatan di Kuching pada Khamis.
Sharifah Hasidah turut berkongsi inisiatif yang dirangka dan dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak terutama untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030, rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta kelestarian wilayah ini menerusi belanjawan kerajaan negeri berjumlah RM15.8 bilion seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak pada baru-baru ini.
Terdahulu antara inti pati forum yang berlangsung dari 18 hingga 20 Disember itu merangkumi memupuk kerjasama lebih erat antara Malaysia, khasnya Sarawak dengan China dalam pelbagai bidang termasuk budaya, ekonomi dan perdagangan serta pendidikan, selain mewujudkan inisiatif yang akan membuahkan hasil positif dan menguntungkan bagi kedua-dua pihak.-TVS